Monday, May 21, 2012

Kisah Pramugari Di Azab Dalam Koma di Tanah Suci


Berikut adalah kisah tentang pramugari yang diazab semasa beliau berada dalam keadaan koma di Tanah Suci Mekah. Agak menarik untuk renungan bersama dan muhasabah diri buat semua.Berpesan-pesanlah kita selagi ada daya. Jangan bila pintu taubat dah tertutup baru tergerak nak bertaubat. Ingatlah kita hanya menumpang dibumi Allah.
Semoga bermanfaat!
____________________________________________________________________________________

Selama hampir sembilan tahun menetap di Mekah sambil menguruskan jemaah haji dan umrah, saya telah melalui pelbagai pengalaman menarik dan pelik.Bagaimanapun, dalam banyak-banyak peristiwa itu, ada satu kejadian yang pasti tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

Ianya berlaku kepada seorang wanita yang berusia di pertengahan 30-an. Kejadian itu berlaku semasa saya menguruskan satu rombongan haji.Ketibaan wanita tersebut dan rombongan haji di Lapangan Terbang Jeddah kami sambut dengan sebuah bas. Semuanya nampak riang sebab itulah kali pertama mereka mengerjakan haji.Sebaik sampai, saya membawa mereka menaiki bas dan dari situ, kami menuju ke Madinah.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar hinggalah kami sampai di Madinah. Tiba di Madinah, semua orang turun dari bas berkenaan. Turunlah mereka seorang demi seorang sehingga tiba kepada giliran wanita terbabit.

Tapi tanpa apa-apa sebab, sebaik sahaja kakinya mencecahkan bumi Madinah, tiba-tiba wanita itu tumbang tidak sedarkan diri.Sebagai orang yang dipertanggungjawabkan mengurus jemaah itu, saya pun bergegas menuju ke arah wanita berkenaan. “Jemaah ni sakit” kata saya pada jemaah-jemaah yang lain.

Suasana yang tadinya tenang serta merta bertukar menjadi cemas. Semua jemaah nampak panik dengan apa yang sedang berlaku.
“Badan dia panas dan menggigil. Jemaah ni tak sedarkan diri, cepat tolong saya…kita bawa dia ke hospital,” kata saya.Tanpa membuang masa, kami mengangkat wanita tersebut dan membawanya ke hospital Madinah yang terletak tidak jauh dari situ.

Sementara itu, jemaah yang lain dihantar ke tempat penginapan masing-masing.Sampai di hospital Madinah, wanita itu masih belum sedarkan diri. Berbagai-bagai usaha dilakukan oleh doktor untuk memulihkannya, namun semuanya gagal.Sehinggalah ke petang, wanita itu masih lagi koma.

Sementara itu, tugas mengendalikan jemaah perlu saya teruskan. Saya terpaksa meninggalkan wanita tersebut terlantar di hospital berkenaan.Namun dalam kesibukan menguruskan jemaah, saya menghubungi hospital Madinah untuk mengetahui perkembangan wanita tersebut.Bagaimanapun, saya diberitahu dia masih tidak sedarkan diri.

Selepas dua hari, wanita itu masih juga tidak sedarkan diri. Saya makin cemas, maklumlah, itu adalah pengalaman pertama saya berhadapan dengan situasi seperti itu.
Memandangkan usaha untuk memulihkannya semuanya gagal, maka wanita itu dihantar ke Hospital Abdul Aziz Jeddah untuk mendapatkan rawatan lanjut sebab pada masa itu hospital di Jeddah lebih lengkap kemudahannya berbanding hospital Madinah.
Namun usaha untuk memulihkannya masih tidak berhasil. Jadual haji mesti diteruskan. Kami bertolak pula ke Mekah untuk mengerjakan ibadat haji. Selesai haji, sekali lagi saya pergi ke Jeddah.

Malangnya, bila sampai di Hospital King Abdul Aziz, saya diberitahu oleh doktor bahawa wanita tersebut masih koma.Bagaimanapun, kata doktor, keadaannya stabil. Melihat keadaannya itu, saya ambil keputusan untuk menunggunya di hospital.

Selepas dua hari menunggu, akhirnya wanita itu membuka matanya. Dari sudut matanya yang terbuka sedikit itu, dia memandang ke arah saya.Tapi sebaik saja terpandang wajah saya, wanita tersebut terus memeluk saya dengan erat sambil menangis teresak- esak.Sudah tentu saya terkejut sebab saya ni bukan mahramnya. Tambahan pula kenapa saja dia tiba-tiba menangis??

Saya bertanya kepada wanita tersebut,

“Kenapa Puan menangis?”

“Ustaz….saya taubat dah Ustaz. Saya menyesal, saya takkan buat lagi benda-benda yang tak baik. Saya bertaubat, betul-betul taubat.”

“Kenapa pulak ni puan tiba-tiba saja nak bertaubat?” tanya saya masih terpinga-pinga.

Wanita itu terus menangis teresak-esak tanpa menjawab pertanyaan saya itu.Seketika kemudian dia bersuara, menceritakan kepada saya mengapa dia berkelakuan demikian, cerita yang bagi saya perlu diambil iktibar oleh kita semua.
Katanya,

“Ustaz, saya ni sudah berumah tangga, kahwin dengan lelaki orang putih. Tapi saya silap. Saya ini cuma Islam pada nama dan keturunan saja.Ibadat satu apa pun saya tak buat. Saya tak sembahyang, tak puasa, semua amalan ibadat saya dan suami saya tak buat.Rumah saya penuh dengan botol arak. Suami saya tu saya sepak terajang, saya pukul-pukul saja,” katanya tersedu-sedan.

“Habis yang puan pergi haji ini?”

“Yalah…saya tengok orang lain pergi haji, saya pun teringin juga nak pergi.”

“Jadi apa sebab yang puan menangis sampai macam ni sekali. Ada sesuatu ke yang puan alami semasa sakit?” tanya saya lagi.



Dengan suara tersekat-sekat, wanita itu menceritakan,

“Ustaz…Allah itu Maha Besar, Maha Agung, Maha Kaya. Semasa koma tu, saya telah diazab dengan seksaan yang benar-benar pedih atas segala kesilapan yang telah saya buat selama ini.

“Betul ke puan?” tanya saya, terkejut.

“Betul Ustaz. Semasa koma itu saya telah ditunjukkan oleh Allah tentang balasan yang Allah beri kepada saya. Balasan azab Ustaz, bukan balasan syurga.
Saya rasa seperti diazab di neraka. Saya ni seumur hidup tak pernah pakai tudung. Sebagai balasan, rambut saya ditarik dengan bara api.Sakitnya tak boleh nak saya ceritakan macam mana pedihnya. Menjerit-jerit saya minta ampun minta maaf kepada Allah.”

“Bukan itu saja, buah dada saya pula diikat dan disepit dengan penyepit yang dibuat daripada bara api, kemudian ditarik ke sana-sini…putus, jatuh ke dalam api neraka.Buah dada saya rentung terbakar, panasnya bukan main. Saya menjerit, menangis kesakitan. Saya masukkan tangan ke dalam api itu dan saya ambil buah dada tu balik.”

Tanpa mempedulikan pesakit lain dan jururawat memerhatikannya wanita itu terus bercerita.Menurutnya lagi, setiap hari dia diseksa, tanpa henti, 24 jam sehari.Dia tidak diberi peluang langsung untuk berehat atau dilepaskan daripada hukuman sepanjang masa koma itu dilaluinya dengan azab yang amat pedih.

Dengan suara tersekat-sekat, dengan air mata yang makin banyak bercucuran, wanita itu meneruskan ceritanya,

“Hari-hari saya diseksa. Bila rambut saya ditarik dengan bara api, sakitnya terasa seperti nak tercabut kulit kepala. Panasnya pula menyebabkan otak saya terasa seperti menggelegak.Azab itu cukup pedih…pedih yang amat sangat…tak boleh nak diceritakan.”
Sambil bercerita, wanita itu terus meraung, menangis teresak-esak. Nyata dia betul-betul menyesal dengan kesilapannya dahulu.

Saya pula terpegun, kaget dan menggigil mendengar ceritanya. Begitu sekali balasan Allah kepada umatnya yang ingkar.

“Ustaz…saya ni nama saja Islam, tapi saya minum arak, saya main judi dan segala macam dosa besar.Kerana saya suka makan dan minum apa yang diharamkan Allah, semasa tidak sedarkan diri itu saya telah diberi makan buah-buahan yang berduri tajam.Tak ada isi pada buah itu melainkan duri-duri saja, tapi saya perlu makan buah-buah itu sebab saya betul-betul lapar.

“Bila ditelan saja buah-buah itu, duri-durinya menikam kerongkong saya dan bila sampai ke perut, ia menikam pula perut saya.Sedangkan jari yang tercucuk jarum pun terasa sakitnya, inikan pula duri-duri besar menyucuk kerongkong dan perut kita.Habis saja buah-buah itu saya makan, saya diberi pula makan bara-bara api. Bila saya masukkan saja bara api itu ke dalam mulut, seluruh badan saya rasa seperti terbakar hangus. Panasnya cuma Allah saja yang tahu. Api yang ada di dunia ini tidak akan sama dengan kepanasannya.

Selepas habis bara api, saya minta minuman, tapi…saya dihidangkan pula dengan minuman yang dibuat dari nanah.Baunya cukup busuk. Tapi saya terpaksa minum sebab saya sangat dahaga. Semua terpaksa saya lalui…azabnya tak pernah rasa, tak pernah saya alami sepanjang saya hidup di dunia ini.”

Saya terus mendengar cerita wanita itu dengan tekun. Terasa sungguh kebesaran Allah.
“Masa diazab itu, saya merayu mohon kepada Allah supaya berilah saya nyawa sekali lagi, berilah saya peluang untuk hidup sekali lagi.

Tak berhenti-henti saya memohon. Saya kata saya akan buktikan bahawa saya tak akan ulangi lagi kesilapan dahulu. Saya berjanji tak akan ingkar perintah Allah dan akan jadi umat yg soleh. Saya berjanji kalau saya dihidupkan semula, saya akan tampung segala kekurangan dan kesilapan saya dahulu, saya akan mengaji, akan sembahyang, akan puasa yang selama ini saya tinggalkan.

Saya termenung mendengar cerita wanita itu. Benarlah, Allah itu Maha Agung dan Maha Berkuasa. Kita manusia ini tak akan terlepas daripada balasannya. Kalau baik amalan kita maka baiklah balasan yang akan kita terima, kalau buruk amalan kita, maka azablah kita di akhirat kelak.Alhamdulillah, wanita itu telah menyaksikan sendiri kebenaran Allah.

“Ini bukan mimpi ustaz. Kalau mimpi azabnya takkan sampai pedih macam tu sekali.
Saya bertaubat Ustaz, saya tak akan ulangi lagi kesilapan saya dahulu. Saya bertaubat… saya taubat Nasuha,” katanya sambil menangis-nangis.

Sejak itu wanita berkenaan benar-benar berubah. Bila saya membawanya ke Mekah, dia menjadi jemaah yang paling warak.
Amal ibadahnya tak henti-henti. Contohnya, kalau wanita itu pergi ke masjid pada waktu maghrib, dia cuma akan balik ke biliknya semula selepas sembahyang subuh.

“Puan…yang puan sembahyang teruk-teruk ni kenapa. Puan kena jaga juga kesihatan diri puan. Lepas sembahyang Isyak tu puan baliklah, makan nasi ke, berehat ke…” tegur saya.
“Tak apalah Ustaz. saya ada bawa buah kurma. Bolehlah saya makan semasa saya lapar.”

Menurut wanita itu, sepanjang berada di dalam Masjidil Haram, dia mengqadakan semula sembahyang yang ditinggalkannya dahulu.
Selain itu dia berdoa, mohon kepada Allah supaya mengampunkan dosanya. Saya kasihan melihatkan keadaan wanita itu, takut kerana ibadah dan tekanan perasaan yang keterlaluan dia akan jatuh sakit pula.

Jadi saya menasihatkan supaya tidak beribadat keterlaluan hingga mengabaikan kesihatannya.
“Tak boleh Ustaz. Saya takut…saya dah merasai pedihnya azab tuhan. Ustaz tak rasa, Ustaz tak tau. Kalau Ustaz dah merasai azab itu, Ustaz juga akan jadi macam saya. Saya betul- betul bertaubat.”

Wanita itu juga berpesan kepada saya, katanya, “Ustaz, kalau ada perempuan Islam yang tak pakai tudung, Ustaz ingatkanlah pada mereka, pakailah tudung.
Cukuplah saya seorang saja yang merasai seksaan itu, saya tak mau wanita lain pula jadi macam saya. Semasa diazab, saya tengok undang-undang yang Allah beri ialah setiap sehelai rambut wanita Islam yang sengaja diperlihatkan kepada orang lelaki yang bukan mahramnya, maka dia diberikan satu dosa.

Kalau 10 orang lelaki bukan mahram tengok sehelai rambut saya ini, bermakna saya mendapat 10 dosa.”
“Tapi Ustaz, rambut saya ini banyak jumlahnya, beribu-ribu. Kalau seorang tengok rambut saya, ini bermakna beribu-ribu dosa yang saya dapat.
Kalau 10 orang tengok, macam mana? Kalau 100 orang tengok? Itu sehari, kalau hari-hari kita tak pakai tudung macam saya ni??? Allah…”
“Saya berazam, balik saja dari haji ini, saya akan minta tolong dari ustaz supaya ajar suami saya sembahyang, puasa, mengaji, buat ibadat.

Saya nak ajak suami pergi haji. Seperti mana saya, suami saya tu Islam pada nama saja. Tapi itu semua kesilapan saya.
Saya sudah bawa dia masuk Islam, tapi saya tak bimbing dia. Bukan itu saja, saya pula yang jadi seperti orang bukan Islam.”
Sejak balik dari haji itu, saya tak dengar lagi apa-apa cerita tentang wanita tersebut.

Bagaimanapun, saya percaya dia sudah menjadi wanita yang benar-benar solehah. Adakah dia berbohong kepada saya tentang ceritanya diazab semasa koma?
Tidak. Saya percaya dia bercakap benar. Jika dia berbohong, kenapa dia berubah dan bertaubat Nasuha?
Satu lagi, cubalah bandingkan azab yang diterimanya itu dengan azab yang digambarkan oleh Allah dan Nabi dalam Al-Quran dan hadith. Adakah ia bercanggah?

Benar, apa yang berlaku itu memang kita tidak dapat membuktikannya secara saintifik, tapi bukankah soal dosa dan pahala, syurga dan neraka itu perkara ghaib?
Janganlah bila kita sudah meninggal dunia, bila kita sudah diazab barulah kita mahu percaya bahawa “Oh… memang betul apa yang Allah dan Rasul katakan. Aku menyesal…” Itu dah terlambat.

REBUTLAH 5 PELUANG INI SEBELUM TIBA 5 RINTANGAN

WAKTU KAYA SEBELUM MISKIN,
WAKTU SENANG SEBELUM SIBUK,
WAKTU SIHAT SEBELUM SAKIT,
WAKTU MUDA SEBELUM TUA
DAN WAKTU HIDUP SEBELUM MATI

Friday, May 18, 2012

Untukmu Bakal Imamku


Ketika rakan-rakan mula melangsungkan pertunangan dan perkahwinan,aku masih begini.
Mencari kekuatan dari sebuah kekecewaan dan penantian.
Aku mahu menjadi yang terbaik buat pasanganku kelak.
Aku tak mahu bazirkan perasaan menyayangi insan yang belum pasti menjadi milikku,hati dan perasaanku untuk jodohku.
Apa khabar agaknya dirimu.
Aku tahu ALLLAH jaga dirimu untukku.
Akan aku jaga diriku untuk dirimu.

Buat Sang Adam yang aku tidak tahu siapakah gerangannya, namun aku tidak pernah putus berdoa untukmu. Tiap kali, aku memohon padaNYA agar diperlapangkan masamu utk beribadah.
Semoga engkau di perkuatkan iman dalam menghadapi ujianNYA,
juga diperkuatkan iman dalam mencari ilmu menuju jalanNYA
agar suatu hari nanti apabila kita dipertemukan dengan rahmat Allah yg penuh barakah dan juga restu kedua ibu-bapa, dapatlah engkau memanfaatkan ilmumu untuk mendidik aku dan zuriat kita.

Friday, May 11, 2012

Sebahagian Dari Hakikat Cinta


Seringkali kita menyebut cinta,namun kita tidakkan mampu menafsirnya dengan hanya satu maksud. Cinta adalah sesuatu yang sangat luas maknanya dan selalu kita menafsirkan cinta itu ekslusif tertakluk kepada hanya satu orang.

Alangkah rugi dan tertipunya kita bila kita menafsirkan begitu, sedangkan cinta itu amat indah jika kita memahami. Cinta yang ekslusif dan paling hakiki, adalah cinta kepada Allah dan Rasulnya sahaja. Satu posisi yang tidak boleh diganti dengan suatu apapun.

Kemudian, datang pula cinta ayah ibu. Cinta yang berkemungkinan menjadi satu dimensi. Hanya ayah ibu akan menyayangi dan mencintai anak-anak mereka, sedangkan, ada anak-anak tergamak menghantar ayah ibu ke rumah-rumah orang tua.

Dan paling popular, cinta sesama manusia. Kita selalu mengharapkan sesuatu yang abadi dari cinta dua kekasih hati. Namun, alangkah sekali lagi tertipunya kita dengan "hakikat" ini. Allah menjadikan hati manusia begitu besar dan penuh cinta. Mahu tidak mahu, kita pernah bercinta, dicinta dan menyintai. Namun, pernah terjadi kita dilukai, dan kita "berjanji" tidak akan jatuh cinta lagi.

Namun, bila pintu hati diketuk, kita kembali membuka hati dan bercinta lagi. Kenapa? Kerana hati itu bukan milik seseorang. Hati dan cinta itu milik Allah. Allah menciptakan hati manusia secara fitrahnya penuh cinta dan kasih sayang.


Kita sayang dan cinta kepada ibu ayah. Lain cara kita menyayangi ibu, dan lain pula cara kita menyayangi ayah. Kita cinta kepada kakak, dan kita sayang kepada abang adik. Kita pernah menyintai A, dan kini kita mencintai B. Bagi seorang insan bernama lelaki, lebih mudah mereka mencintai seorang, dua, tiga atau ramai wanita dalam satu masa. Itu fitrah mereka. Mereka cinta semuanya, cuma dengan cara dan situasi yang berbeza. Wanita juga mampu melakukan begitu, cuma wanita lebih setia dan lebih beremosi.

Menyintai ramai orang dalam satu masa bukanlah perkara ajaib atau buruk, kita juga ada mengalaminya. Ia seperti menyukai McDonalds dan KFC, epal dan oren dalam satu masa. Bukan bermakna bila kita memilih, kita sudah melupakan pilihan yang lain, cuma, dunia Allah ini luas dan bervariasi. Rugilah jika kita hanya boleh memilih "satu" sahaja.

Cuma, wanita lebih gerun jika perlu "berkongsi". Mereka lebih gusar jika tidak disayangi dan dicintai lagi. Namun hakikat kasih sayang seorang lelaki, jika dilayan dengan baik dan penuh cinta, kasih sayang dan perhatian mereka masih sama. Cuma mereka tidak buta. Lelaki fitrahnya melihat dan melindungi. Fitrah lelaki suka kepada yang indah. Jadilah yang indah di matanya. Indah itu subjektif.


Fitrah lelaki melindungi. Mereka mahu melindungi wanita yang malang. Seorang lelaki perlu melindungi seseorang wanita yang teraniaya, dan dia mungkin suami anda. Wanita tidak boleh melindungi wanita sepertimana lelaki melindungi wanita. Wanita boleh menyokong secara emosi. Itu adalah tautan yang paling kuat.


Berbalik kepada hakikat cinta dan menyintai, jangan ditanya siapa di hati. Hati dan cinta itu sangat luas, sangat subjektif dan sangat mendalam. Jangan berharap menjadi "yang satu" di hati, tapi berusahalah menjadi "Nombor Satu" dihatinya. Cinta manusia tiada yang hakiki. Ia boleh berubah dan diuji.

Kembalikan hati kita kepada Allah. Hati kita juga milik Allah. Kita juga boleh berubah hati bila Allah mengkehendaki. Cuma, bercintalah dengan ikhlas dan menurut syariat. Di waktu cinta itu masih ada, nikmatilah ia dengan sepenuh ikhlas dan tulus kerana apabila hati itu diisi lagi atau berhenti menyintai, sekurang-kurangnya kita pernah berkongsi sesuatu perasaaan yang indah.Perasaan yang dikongsi itu benar.

Berdoalah kepada Allah agar cinta itu sejati, kerana apabila diuji, cinta menjadi semakin hebat dan kuat~atau mungkin juga menjauh. Allah tidak zalim bila Dia memutuskan cinta antara dua hati- cuma sebenarnya Allah ingin mengajarkan kita tentang sesuatu atau mengantikannya dengan sesuatu yang lebih baik lagi.

Thursday, May 3, 2012

Rahsia Disebalik Kejayaan Orang Yang Tak Solat



Kita tahu bahawa ilmu itu cahaya, dan tidak akan memasuki hati-hati yang gelap, tetapi kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha. Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula hidup dengan penuh cabaran dan duga. Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan ummat ISLAM tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.


Orang bertanya kepada saya. Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak benar?

Maka saya hendak bertanya kepada anda.

Adakah anda tahu apa itu istidraj?

Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?
Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.

Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.




Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Kita lihat contoh yang mudah. Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusiayang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini hendak menyatakan betapa kayanya dia.

Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan.
Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,

“ Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”

Lihat. Lihat apa kata Qarun. Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba.

Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.

Nah… Apakah itu yang kita mahu?

Sebab itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian?

Saya yakin, 99% akan merasa begini,“ Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”
Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.

Maka jangan gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.

Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.

Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu.

Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.

“ Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa”
ALLAH menjawab,

“ Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”

Nah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah studi, gagal dalam perniagaan walau kemas menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah ALLAH SWT ada berfirman,

“ Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”

Jika gagal terhadap satu-satu perkara, itu perkara itu. Anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.

Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita.
Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?

Saya yakin tidak..

Anda tenang sekarang?

Anda wajib untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT.

Aku berdosa, tetapi aku berjaya…. Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.

Mari kita sama-sama duduk, dan bermuhasabah semula.Sesunggunhnya aku juga manusia yang alpa.
Related Posts with Thumbnails