Ya Allah Guide me all the way to your Jannah Don’t let me go astray ’cause I need you By my side, wish to be Close to You throughout my life
Tuesday, September 28, 2010
Gadis Melayu Akan Disiasat
SECARA luarannya, pertandingan program televisyen (TV) realiti, Gadis Melayu bertujuan melahirkan gadis-gadis Melayu yang bukan setakat ayu, berpendidikan dan berketrampilan tinggi, tetapi juga sebagai selebriti TV pelapis pada masa depan.
Malah, program terbitan TV9 itu turut menjaga nama baik serta penampilan setiap pesertanya agar ia selaras dengan imej gadis Melayu yang dikatakan mempunyai jati diri dan maruah yang tinggi di kalangan masyarakat sejak dari dulu lagi.
Menyedari pentingnya elemen-elemen itu, stesen TV di bawah naungan Media Prima Berhad itu akan lebih menitikberatkan soal latar belakang sosial para peserta Gadis Melayu pada musim akan datang bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai rekod bersih sahaja dibenarkan bertanding.
Menurut Penerbit Gadis Melayu musim ke-2, Shukri Ibrahim, perkara itu timbul apabila ada di kalangan peserta pertandingan itu yang menjadi bualan ramai selepas gambar-gambar tidak senonoh mereka seperti meminum arak di disko telah diedarkan menerusi Internet baru-baru ini.
Pengurusan TV9 ujarnya, memandang serius tentang perkara tersebut dan stesen itu akan membuat saringan terlebih dahulu untuk memastikan peserta program itu bersih daripada rekod buruk.
“Kami juga akan siasat latar belakang mereka. Bagaimanapun, ada juga perkara yang di luar bidang kuasa kami, contohnya aktiviti-aktiviti masa lampau mereka yang kami tidak ketahui dan ia hanya diketahui selepas bermulanya musim baru Gadis Melayu itu di kaca TV.
“Kalau betul mereka ada rekod tidak baik atau melakukan aktiviti-aktiviti negatif yang boleh menjejaskan nama baik pertandingan ini, memang awal-awal lagi kami akan singkirkan mereka,” katanya kepada Hits sewaktu ditemui sebelum sidang media Gadis Melayu 2 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Shukri mendedahkan, terdapat peserta pertandingan itu yang terbabit dengan aktiviti-aktiviti tidak sihat di mana perlakuan itu akhirnya telah didedahkan menerusi Internet iaitu ketika bermulanya pertandingan tersebut.
Namun katanya, peserta terbabit telah pun tersingkir dan pada masa sama beliau turut memberi jaminan bahawa lima finalis Gadis Melayu 2 tidak mempunyai rekod buruk yang boleh menjejaskan kredibiliti pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 buat juaranya itu.
Pengalaman yang berlaku sebelum ini kata Shukri, memberi pengajaran kepada stesen itu dan kerana itu TV9 tidak teragak-agak memanggil peserta terbabit untuk memberi penjelasan.
Menurut Shukri, peserta itu mendakwa, gambar tidak senonohnya telah tersebar di Internet selepas dia terpilih bertanding dalam Gadis Melayu 2.
“Katanya, ia disebarkan oleh kawan-kawannya sendiri yang mungkin iri hati atau sengaja mahu mensabotajnya.
“Perkara tidak senonoh yang dilakukannya itu dilakukan sebelum peserta terbabit menyertai Gadis Melayu 2 dan ia berada di luar pengetahuan kami,” ujarnya pada majlis pengumuman lima finalis pertandingan itu.
Lima finalis yang akan bersaing pada pertandingan akhir di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, pada 5 November ini (esok) bermula pukul 8.30 malam itu ialah Putri, Lyn, Finas, Fiqa dan Nadia dan akan disiarkan secara langsung menerusi TV9.
Gadis Melayu 2 merupakan program TV realiti yang mengadili para pesertanya menerusi 50 peratus daripada undian khidmat pesanan ringkas (SMS), manakala 50 peratus lagi melalui pemilihan panel juri profesional.
Para juri yang akan mengadili para peserta Gadis Melayu 2 ialah Datin Seri Normala Shamsudin, Nurfarahin Jamsari, Izza Safinaz Ibrahim, Rosyam Nor, Syafinaz Selamat dan Adam Salleh.
Tambah Syukri, lima finalis pertandingan itu bukan setakat mempunyai rekod bersih, malah mereka juga berpendidikan tinggi, versatil dan mampu diserapkan sebagai selebriti seperti pengacara pelbagai rancangan di TV9 ataupun TV3 pada masa akan datang.
“Kami dapati kesemua finalis Gadis Melayu cukup versatil untuk diserapkan sebagai pengacara TV yang baru termasuklah dalam rancangan yang berkonsepkan hiburan. Apatah lagi menerusi tugasan-tugasan berbentuk kewartawanan yang kami berikan kepada mereka turut membantu ke arah itu.
“Kami harap dengan adanya pertandingan seperti ini kita akan dapat mencari pengacara pelapis seperti Normala Shamsudin, Wan Zaleha Radzi dan Ras Adiba Radzi.
“Malah, kami juga optimis rancangan ini akan mendapat sambutan hangat pada masa depan. Setakat ini sahaja rancangan ini ditonton oleh lebih 1.4 juta penonton selepas ia bersiaran 12 episod,” ujarnya lagi.
Pada pertandingan akhir Gadis Melayu 2 kelak, pasangan pelakon, Adlin Aman Ramlie dan isterinya, Emelda Rosmila akan menjadi pengacara pertandingan yang semakin popular di TV9 tersebut.- Utusan Malayisa
Diketak ketak oleh Ayane sehingga 2:00 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment