
9 anak 'buang' ibu kuat makan
JOHOR BAHRU: Hanya dengan alasan ibu kuat makan, seorang wanita tua yang lumpuh separuh badan dihantar anaknya ke pusat jagaan warga emas. Lebih menyedihkan, wang pencen arwah suami yang sepatutnya menjadi haknya turut dikaut sembilan zuriatnya itu setiap bulan.
   Wanita berusia 84 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Aminah,  dihantar ke pusat jagaan selepas semua anaknya bersikap lepas tangan  mengenai kebajikannya sedangkan ada antara mereka berjawatan tinggi  termasuk bergelar profesional.
Akibatnya, Aminah bergantung  sepenuhnya terhadap ihsan pihak lain bagi meneruskan kehidupan walaupun  dia sebenarnya berhak mendapat pencen arwah suami  RM700 sebulan.
“Sebelum suami meninggal dunia, dia berpesan kepada anak  supaya menjaga saya. Namun, setahun selepas suami meninggal, kedua-dua  kaki saya lumpuh sehingga terpaksa mengengsot.
“Sejak itu saya dianggap beban oleh anak hingga mereka menolak  satu sama lain  menjaga saya sebelum mengambil keputusan menghantar  saya ke pusat jagaan ini tiga tahun lalu,” katanya.
Aminah  mempunyai sembilan anak, lima lelaki dan empat perempuan berusia antara  30-an hingga lewat 50-an. Suaminya yang bekerja sebagai anggota polis  meninggal dunia  10 tahun lalu.
Menurutnya, dia yang lebih  banyak menguruskan semua sembilan anak kerana suami sering bertugas luar  daerah, mendidik mereka dengan penuh kasih sayang sehingga berjaya.
 Aminah berkata, buat masa ini, perbelanjaannya bagi membeli  ubat-ubatan mahupun lampin pakai buang yang mencecah RM800 sebulan  diuruskan Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan di Taman Bukit Kempas.
 Menurutnya, hasratnya menggunakan wang pencen arwah suaminya tidak   kesampaian kerana setiap kali persoalan itu ditimbulkan, ia mencetuskan  pertengkaran di kalangan anak.
“Mereka mengambil wang itu  secara bergilir-gilir. Jika anak sulung lelaki menggunakannya bulan ini,  anak kedua  mengambilnya pada bulan depan sebelum kad ATM (mesin  juruwang automatik) itu diserahkan kepada anak ketiga.
“Saya  sedih kerana setiap kali  meminta daripada pengurusan pusat jagaan  termasuk  membeli minyak angin kerana tidak mempunyai wang sedangkan  anak bekerja dan hidup senang,” katanya yang sebak ketika menceritakan  kisah hidupnya.
Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan Warga  Emas Nur Ehsan, Norijah Bidin, 45, berkata, seorang anak wanita  berkenaan menghantar ibu kandungnya itu ke situ dengan alasan wanita  berkenaan terbabit kuat makan.
Menurutnya, biarpun pada  awalnya berjanji mahu membantu meringankan kos penjagaan ibunya dengan  menyerahkan wang pencen arwah bapanya, lelaki berusia 40-an itu langsung  tidak mengambil peduli mengenai warga emas terbabit sejak dihantar ke  situ, kira-kira tiga lalu.
“Kadangkala nenek berkenaan segan   meminta hingga kami menggunakan pendekatan psikologi supaya dia tidak  kesunyian dan tidak berasa rendah diri dengan keadaannya itu.
 “Kami bukan mendesak keluarga itu, tapi sekurang-kurangnya mereka yang  berkemampuan sepatutnya membantu meringankan kos yang ditanggung pusat  jagaan,” katanya. 
 

No comments:
Post a Comment